Biografi

SN Usman AwangSasterawan Negara Dato’ (Dr) Usman Awang @ Tongkat Warrant @ Adi Jaya @ Atma Jiwa @ Pengarang Muda @ Amir @ Manis @ Rose Murni @ Setiabudi @ Zaini @ UA  adalah di antara nama-nama pena/samaran beliau.

Dilahirkan pada 12 Julai 1929 di Kampung Tanjung Lembu, Kuala Sedili, Kota Tinggi, Johor Darul Takzim.  Bapanya seorang nelayan dan ibunya meninggal dunia ketika beliau masih kecil lagi.

Mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kuala Sedili (1936), Mersing (1937) dan Bandar Maharani (1940) sehingga lulus ke Darjah VI.  Ketika penjajahan Jepun di Malaya, Usman menjadi petani di Segamat dan kemudiannya menjadi buruh paksa Jepun di Singapura selama enam bulan.

Pendidikan secara formal beliau terima adalah seadanya akibat zaman dan situasi kehidupan miskin di tanah air yang masih dijajah.  Walaubagaimanapun  beliau memperolehi pengetahuan dan ilmu melalui pendidikan tidak formal – alam kehidupan semulajadi – memungkinkan kematangan dan kebijaksanaannya menyerlah bersama berkembangnya alam penghidupan,  sesuai dengan tuntutan zamannya.  Seterusnya beliau berkerja sebagai pembantu pejabat, kemudian mengikuti latihan Botai (Polis Jepun).  Pada akhir Perang Dunia Kedua, berkhidmat sebagai anggota polis dan Jungle Squad di Melaka (1946-1951) sewaktu mulanya Zaman Darurat di Malaya.

Oleh kerana Usman lebih selesa dengan mata pena daripada senjata berpeluru dalam membela peperangan, maka beliau kemudian berhijrah ke Singapura untuk memulakan kerjayanya sebagai seorang penulis.  Bermula sebagai pembaca pruf, pemberita dan kemudian menjadi anggota sidang pengarang Utusan Kanak-Kanak, Utusan Zaman dan Mastika (1952-1961) di mana beliau mula bersuara dengan lantangnya.   Kemudian beliau berpindah ke Kuala Lumpur mengikut akhbar Utusan Melayu.  Selepas beliau meninggalkan kerjayanya di Utusan Melayu kerana isu mogok mempertahankan Bahasa Melayu, beliau menganggur seketika sebelum mendapat pekerjaan di Federal Publication dan Fajar Bakti.  Akhir sekali beliau diberi peluang untuk bekerja di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).  Beliau telah mengangkat dan mengharumkan nama  institusi bahasa dan sastera tersebut hingga ke tahap antarabangsa selama jangka masa beliau berkhidmat di DBP.  Usman bersara dari DBP  pada pertengahan 1980-an.

Walaupun sudah bersara pada waktu itu tetapi sebagai seorang sasterawan yang prihatin, beliau masih aktif  dan sibuk berkarya dan memartabatkan sastera melalui aktiviti-aktiviti, projek-projek  dan acara-acara sastera didalam dan luar negara seperti di Amerika Syarikat, Rusia, Perancis, Jepun, Korea, China, Filipina, Indonesia dan lain-lain.  Karya-karya beliau juga telah diterjemah kepada bahasa negara-negara tersebut.

Ketokohan Usman menonjol melalui karya-karya beliau kerana perwatakan peribadinya yang berani dan tegas tetapi lemah-lembut, mesra, sensitif  dan simpati terhadap golongan bawahan yang miskin, tertindas dan manusia yang malang sehingga Usman ditafsirkan sebagai seorang seniman/sasterawan yang berjiwa besar,  jiwa rakyat.  Usman adalah seorang penyair yang tidak luntur dan dapat menyesuaikan dirinya dengan pelbagai zaman dan situasi.  Beliau juga bergiat cergas dalam beberapa pertubuhan masyarakat yang beliau membantu tubuh  seperti : Persatuan Hak Asasi Manusia Malaysia, Persatuan Malaysia-Palestin dan Persatuan Persahabatan Malaysia-China.  Beliau juga pernah menjadi AJK Akademi Seni Kebangsaan, Ahli Jemaah Kolej Selatan – sebuah kolej swasta aliran Cina, Penasihat Sastera Maybank Berhad dan Turnaround Managers Inc.  Pada tahun 1991, beliau telah dianugerahi Darjah Kebesaran Dato’ Paduka oleh Baginda Sultan Perak Darul Ridzuan yang membawa gelaran Dato’.

Usman  mula menulis dalam bentuk puisi/sajak.  Sajak-sajaknya sentiasa segar, kukuh serta akrab dengan akar budi Melayu dan unsur berperikemanusiaan.  Beberapa buah sajaknya telah menjadi  bahan yang amat menarik bukan sahaja dikalangan masyarakat terbanyak yang cintakan puisinya tetapi menjadi mainan bibir di kalangan pelajar-pelajar sekolah dan universiti  dalam sebarang acara mendeklamasi sajak, semasa karya-karya beliau berada di dalam korikulum sekolah .  Antara sajaknya yang cukup popular ialah : ‘Bunga Popi’, ‘Pak Utih’, ‘Ke Makam Bonda’, Nasib Buruh’, Gadis di Kuburan’, ‘Kekasih’, ‘Duri dan Api’, ‘Merpati Putih Jelajahilah Dunia Ini’ dan ‘Salam Benua’.  Drama juga telah mengharumkan nama Usman.  Bidang ini telah diterokainya sejak awal 1960-an dengan menulis banyak drama untuk radio dan pentas.  Beberapa buah dramanya yang sukar dilupakan ialah : ‘Serunai Malam’, ‘Malam Kemerdekaan’, ‘Tamu di Bukit Kenny’, ‘Matinya Seorang Pahlawan’ dan ‘Degup Jantung’.  Dramanya yang banyak di perkatakan ialah ‘Muzika Uda dan Dara’.   Ini adalah drama musikal pertama di Malaysia dan telah di pentaskan oleh Gemaseni pada 1972.  Antara cerpen-cerpen beliau adalah: ‘Degup Jantung’, ‘Turunya Sebuah Bendera’, ‘Kami Yang Terlibat’, ‘Untuk Malaya Merdeka’, ‘Dari Johor Bahru ke Kota Tinggi’, ‘Surat Dari Seorang Mata-mata’ dan ‘Tugas/Ini Saya Punya Kerja’.   Satu-satunya novel yang beliau sempat menulis ialah ‘Tulang2  Berserakan’ yang juga telah di terjemah ke Bahasa Inggeris bertajuk ‘Scattered Bones’.

Dalam kegiatan dan organisasi penulis tanahair,  sumbangan dan penyertaan Usman amat dirasakan.  Beliau bukan sahaja pencipta karya yang asli dan halus tetapi juga adalah penggerak yang berani memberi penuh inspirasi dan semangat kepada ramai penulis muda.  Sejak tahun 50-an beliau merupakan salah seorang pengasas Ikatan Persuratan Melayu Melaka (IPM); Setiausaha ASAS 50 di Singapura dan Ketua PENA yang pertama (1962-65).  Beliau juga telah mengambil inisiatif untuk mengadakan : Hari Puisi, Cempaka Berbunga, Malam Gema Puisi dan Genta Rasa di Panggung Anniverseri, Lake Garden, Kuala Lumpur.  Acara seni yang bermakna seperti Manifestasi Dua Seni, Kumpulan Puisi Keranda 152 dan Teluk Gong adalah daya usaha Usman bersama penyair seangkatannya.

Sebagai insan yang prihatin, peka, bertanggungjawab dan tidak jemu-jemu memperkayakan budaya negara, pasti sahaja sumbangannya dan pengorbanannya  pada jagat sastera bukan sedikit. Oleh itu pelbagai anugerah dan penghormatan diberikan kepada beliau, antaranya: Pejuang Sastera (1976), SEA Write Award (1982) dan Ijazah Doktor Kehormat (Persuratan) daripada Universiti Malaya (1983), Zamalah Sastera dari akhbar Berita Harian (1985) dan Anugerah Penyair Johor (1995)  membuktikan pembabitan dan kewibawaannya cukup bermakna.

Usman meninggal dunia pada bulan Ramadhan, 29 November, 2001,  setelah lama menghidap penyakit jantung.  Beliau di kebumikan di Perkuburan Islam Bukit Kiara, Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur.  Negara kehilangan sebutir bintang yang sangat berharga dan belum ada penggantinya lagi.

 

One Response to Biografi

  1. bella sweet says:

    website ini bnyk membntu sya utk mencri profil menenai sasterawan Negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>