
Karya agung Sasterawan Negara Allahyarham Dato’ (Dr) Usman Awang ini adalah sebuah drama muzikal yang pada zahirnya drama ini adalah sebuah kisah cinta antara dua sejoli bernama Uda dan Dara.
Idea awalnya daripada sebuah sajak yang beliau tulis pada 1956 bertajuk ‘Gadis Di Kuburan’. Kemudian diolah menjadi sebuah cerpen bertajuk ‘Uda dan Dara’. Pada 1972 cerpen itu dijadikan sebuah drama untuk persembahan TV dan seterusnya dipentaskan sebagai ‘Muzika Uda dan Dara’ – musikal pertama di Malaysia, 1972.
Namun cerita sastera klasik Melayu ini sebenarnya memaparkan etika dan moral penghidupan berbeza antara buruk dan baik, kemuliaan dan kejahatan. Ia adalah contoh tauladan dan peringatan untuk manusia sejagat kerana sifat lemah akan nafsu dan pelupa harus disedarkan. Sifat kemuliaan manusia yang tinggi akan menyelamatkan kesejahteraan bumi, semua bangsa dan tiap-tiap tanahair di dunia ini.
UDA DAN DARA
Uda dan Dara
Bertemu wajah rasa
Burung-burung menyanyikannya
Gunung-gunung sungai sawah padi melindungi
Melindungi kasih sayang agung dan murni.
Uda dan Dara
Bersumpah keramat cinta
Kering lautan runtuh langit
Terbelah gunung gugur matahari
Berdua bersama berdua sehidup semati.
Uda dan Dara
Bersanding tak berpelamin
Berijabkabul malam bening
Pohon-pohon mewali laut malam saksi
Malam bersatu kiamatlah alam dua hati.
USMAN AWANG
Telah dipentaskan semula di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 10 – 20 Julai, 2010.